Manusia Luar Biasa


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.



Mana satu pilihan kita, manusia biasa atau manusia luar biasa?

Seringkali kita berkata bahawa kita mahu menjadi seorang Da’i yang luar biasa, kita sayang pada Allah, kita cintakan dakwah ini sepenuh hati kita. Tetapi, sejauh mana kejujuran dan kebenaran kata-kata yang terpacul daripada mulut kita itu?


Medan khayal itu lebih luas daripada medan bercakap, medan bercakap itu lebih luas daripada medan beramal, medan beramal itu lebih luas daripada medan jihad, dan medan jihad itu lebih luas daripada medan jihad yang muntij.”


Itulah kata-kata Imam Hasan al-Banna. Kata-kata yang ringkas tetapi mengandungi seribu satu maksud tersurat dan tersirat. Bagi mereka yang bersih hatinya, pasti akan menemui maksud daripada penyataan beliau, insya-Allah.

Untuk mengatakan yang kita mahu Islam ini menjadi Ustaziyyatul Alam adalah cukup mudah. Kanak-kanak berusia 3 tahun pun mampu untuk berkata sedemikian. 

Namun, persoalannya adalah kita benar-benar beriman dengan kata-kata kita itu? Lantas melakukannya tanpa mengira sesusah manapun jalan yang bakal kita tempuhi?

Wahai diri dan teman-teman yang saya kasihi, jalan dakwah ini tidak pernah dan tidak akan sesekali dihiasi dengan permaidani yang indah, pujian, gelak tawa, dan kegembiraan.

Jalan ini, nak tak nak, adalah jalan yang sukar, perit, meminta keseluruhan indera kita. Malah, penuh dengan onak dan duri yang cukup tajam dan bisa!

Mana tidaknya, sehari-hari dalam hidup kita, kita sedar yang dakwah itu wajib. Kita sedar yang kita hanya mempunyai dua sahaja pilihan di dalam hidup kita. Iaitu sama ada kita mematahkan segala hujah manusia terhadap Allah s.w.t. di akhirat kelak, ataupun kita akan diheret bersama manusia lain ke dalam api neraka Allah s.w.t.

Pada masa yang sama, kita pula sentiasa berlawan habis-habisan, non-stop dengan al-hawa dalam hati kita, membersihkan hati dan diri kita daripada karat-karat jahiliyah hari demi hari.

Selesai dengan al-hawa diri, kita perlu pula bertempur dengan jahiliyyah pekat di dunia luar selain masalah dalam jemaah sendiri yang tidak tahu bila akan selesai.

Astaghfirullah.. Besarnya ujian ini..

Subhanallah.. Sukarnya hidup seorang Dai’!!

Banyaknya masalah. Boleh ke Islam menang ni?

Ya, memang sukar dan tinggi menggunung ujiannya. Bahkan tidak berhenti di situ sahaja. Akan ada pelbagai, beribu, bahkan berjuta ujian yang menanti kita hari demi hari sesuai dengan tahap tarbiyyah kita.

Tetapi, sedarlah. Jalan ini akan menjamin kita untuk meraih redha-Nya di akhirat kelak. Jalan ini yang akan menyelamatkan kita daripada azab api neraka dan memberikan kita peluang untuk memasuki syurga-Nya. Semakin besar kita merasakan ujian yang menimpa kita, semakin kuat jugalah kita perlu mentarbiyyahkan hati kita. Masih ingatkah kita akan kata-kata Ustaz Abdullah Rahmat:


“Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.”


Itulah antara solusi yang dikongsikan kepada kita oleh seorang pejuang yang telah menghabiskan seluruh usianya pada jalan dakwah. Selagi mana kita teguh memikul bebanan dakwah ini, masalah akan sentiasa mengunjungi kita, dan kita tiada kuasa untuk menghalangnya.Tetapi, apa yang kita boleh dan mampu buat adalah untuk terus bertahan dan berpaut teguh dengan tali Allah s.w.t.

Jom terus berjalan. Dan berjalan Sehingga kita bertemu dengan-Nya.