Peduli


DO I CARE ?
"Ah, kenapa kita kena peduli tentang apa yang orang kata pada kita? Waktu mereka mengata, mereka pernah peduli tentang perasaan kita kah? Mereka peduli apa sebenarnya yang kita alami kah? Mereka pernah peduli untuk terfikir bagaimana rasanya berada di tempat kita kah?"

Dia selalu bersoal jawab itu dalam hatinya. Walhal dia cukup tahu bahawa dia takkan maju kehadapan dengan mendengar suara suara sumbang bercakap belakang menghukum sesuka hati tanpa merasa untuk berada di tempat dia sendiri. Dia cukup tahu itu kedengaran seperti tidak adil bunyinya.

Selalu dia kata pada diri, lebih kepada memujuk hati, bunyinya begini, "Pedulikan kata kata racun bersarang nista mereka. Allah lebih tahu akan diriku". Tenang semula hatinya. Tapi sampai bila ketenangan itu masih dipunya bila satu masa ianya direntap begitu saja? Sampai bila tembok "pedulikan mereka" itu mampu bertahan bila dihentam bertubi tubi tanpa simpati? Dia manusia biasa tak punya kuasa istimewa apa apa untuk melawan itu semua. Ah, kalau lah dijual baju besi untuk hati, pasti dia orang pertama yang akan memilikinya.

Aneh ya bila manusia yang dia sangka akan menjadi pembela dia dalam kesusahan adalah manusia yang menghumban dia ke kancah duka. Bukan menjadi penguat semangat, tetapi peruntuh. Aneh kerana manusia itu yang ditatang, dikasih, dibangga rupanya yang menikam nikam dia dari belakang. Sakit rasanya. Pilu hatinya. Walang perasaannya.

Akhirnya dia buat keputusan untuk mengalah. Bukan bererti kalah, tapi beralah. Semua kerana sayangnya masih tetap ada pada manusia itu. Dia memilih untuk melihat sejauh mana mereka mampu berkata sesedap rasa. Dia menunggu sampai satu masa mereka akan kalut terduduk melutut jua padanya.

Buat masa ini, dia hanya mampu memendam rasa dalam senyum paksa.