Pahala percuma

Biasanya manusia akan suka kepada barang-barang percuma. Tetapi ramaikah yang suka kepada pahala percuma? Kalau anda salah seorang yang suka kepada pahala percuma, maka berlapang dada dan senyum-senyum lah jika anda diumpat dan dikutuk di belakang, kerana pahala orang yang mengumpat itu akan dapat kepada anda secara percuma.



Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat nanti seorang akan terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya? Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”

Kenapa perlu mengumpat (ghibah) atau mengutuk orang di belakangnya? Jika ada suatu perkara yang seseorang itu buat silap, sepatutnya kita pergi padanya dan tegur dengan berhikmah secara berdepan, lebih-lebih lagi jika kesilapan yang dia lakukan itu hanya dosa kecil atau tersilap. Jika kita mengutuk seseorang itu di belakangnya, tak semena-mena pahala kita akan dikutip olehnya sedikit demi sedikit. Tak ke sangat rugi kita? Hanya sekadar mahu mempersenda, melepaskan marah atau ketidak-puas hatian yang sekejap hingga hilang banyak pahala.

"Janganlah sebahagian di antara engkau semua itu mengumpat sebahagian yang lainnya. Sukakah seseorang di antara engkau semua makan daging saudaranya dalam keadaaan dia sudah mati, maka tentu engkau semua membenci. Takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Menerima taubat lagi Penyayang." (Surah Al-Hujurat : 12)


Kadang-kala, kutukan dan ejekan di belakang orang itu bukannya kerana dia buat salah atau dosa, tetapi hanya kerana perbuatannya itu tidak menepati selera dan kehendak kita. Dah kalau dia tidak buat dosa, kenapa kita tak pasal-pasal mengumpatnya? Dan lagi adakalanya kerana cemburu dan hasad dengki terhadap kejayaan atau kelebihan yang ada padanya.

Sepatutnya, jika kita bersembang dengan orang kita boleh dapat pahala jika bercakap perkara-perkara baik dan bermanfaat, seperti sembang ilmiah, berbincang tentang ilmu agama yang diketahui masing-masing, memberi nasihat, ingat-mengingat kepada kebenaran, kesabaran, kematian dan sebagainya.

Tetapi tidak, kita bercakap tentang keburukan dan keaiban orang lain, mengejek-ejek tanpa mengambil kira maruahnya jatuh atau tidak. Kalau tak masuk bab mengumpat pun, mungkin akan masuk bab fitnah (namimah).

Orang yang suka mendengar seseorang mengumpat pun sepatutnya baca dan hayati baik-baik firman Allah ini yang bermaksud, "Orang-orang mu'min ialah orang-orang yang berpaling dari kata-kata yang tidak berguna." (Surah Al-Mu'minun: 3). Maka jika anda suka sangat mendengar orang lain mengumpat, pastikah anda betul-betul seorang yang beriman?

Dan jika anda suka mencegah orang mengumpat pula, begini ganjarannya. Dari Abuddarda' r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Barangsiapa yang menolak dari keperwiraan saudaranya - seperti mencegah orang yang hendak mengumpat saudaranya itu di hadapannya, maka Allah menolak diri orang itu dari neraka pada hari kiamat" - Saudara yang dimaksudkan ialah orang yang sesama Muslim atau mu'min. (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadits Hasan).

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau (kalau tidak dapat berkata yang baik), hendaklah dia berdiam diri saja." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Musa r.a., katanya: "Saya berkata: "Ya Rasulullah, manakah kaum Muslimin itu yang lebih utama?" Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu yang orang-orang Islam lain merasa selamat daripada gangguan lisannya serta dari tangannya." (Muttafaq 'alaih)

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua memperbanyakkan kata-kata, selain untuk berzikir kepada Allah Ta'ala, sebab sesungguhnya banyaknya pembicaraan kerasnya hati dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras," (yakni enggan menerima petunjuk baik). (Hadits Riwayat Tirmidzi)

Mungkin kita tidak dapat lari dari kesalahan mengumpat ini sekali-sekala, kerana kita bukan maksum. Mungkin kerana terlanjur, tidak sengaja, terlupa dan sebagainya. Maka dosa-dosa yang dilakukan itu tertanggung lah oleh kita. Apa-apa pun semoga kita dapat meminta maaf pada yang punya badan, jika kita terlanjur mengumpatnya. Dan yang paling penting, semoga kita tidak jadikan mengumpat (yang dilarang) sebagai hobi kita.

kita manusia yang alpha , kadang kita sendiri pun salah dan banyak berbuat dosa samada kita sedar atau tidak sedar sehingga perbuatan kita itu mengguris dan menyakitkan hati orang lain . astaghfirullah al'zim . Ya Allah walau siapa pon mereka yang datang menyakiti aku , aku berdoa semoga aku tidak berbuat sedemikian kepada yang lainnya . amiin .